Kompleks DUN mercu tanda baru Sarawak

a menggabungkan keunikan seni bina dan keharmonian hidup rakyat di negeri ini
KUCHING: Setiap pengunjung ke bandar raya ini pasti menyedari kewujudan bangunan baru Dewan Undangan Negeri Sarawak, dengan bumbungnya berbentuk payung, yang tersergam megah di atas sebuah bukit di pinggir Sungai Sarawak.

Mercu tanda terbaru berharga RM300 juta ini, yang mampu menempatkan 108 anggota dewan undangan negeri, dengan setiap anggota mempunyai pejabat sendiri, dijadual dirasmikan pembukaannya oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin pada 27 Julai ini.

Hasil seni bina yang amat indah ini juga akan menjadi tempat berlangsungnya Persidangan Majlis Raja-Raja pada 28 hingga 29 Julai, selain menjadi tempat baru berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula lewat tahun ini.

Ketika merasmikan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DNU) Sarawak awal minggu ini, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng berkata kompleks serba moden setinggi sembilan tingkat itu, yang menggabungkan keunikan unsur-unsur seni bina Sarawak dan sistem peralatan terkini, mencerminkan keamanan dan keharmonian hidup yang dinikmati oleh rakyat Sarawak.

“Kita amat berbangga dengan hasil pembangunan ini (pembinaan kompleks berkenaan), yang mencatat sejarah baru dalam sistem demokrasi Sarawak dan menjadi simbol perpaduan erat dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik di negeri ini,” kata beliau.Beliau berkata masanya sudah tiba persidangan DUN diadakan di tempat yang lebih besar dan selesa, memandangkan bangunan sedia ada, yang dibina pada 1976 berhampiran Petra Jaya di sini dan pada asalnya dibina bagi memenuhi keperluan 48 anggota, kini telah bertambah kepada 71 orang.

Sementara itu, Speaker DUN Sarawak Datuk Seri Mohd Asfia Awang Nassar menyifatkan kompleks baru itu sebagai mercu tanda khusus bagi negeri ini, sama seperti Menara Berkembar bagi Kuala Lumpur dan Sydney Opera House bagi Australia.

Dibina di kawasan seluas 172 ekar dengan dilengkapi sistem automasi bangunan pintar, kemudahan komunikasi multimedia dan ciri-ciri mesra alam termoden, bangunan itu memiliki beberapa ciri istimewa lain, termasuk medan perbarisan, sebuah dewan bankuasi negeri yang boleh menempatkan 1,000 hadirin, sebuah kawasan parkit bagi 315 kenderan dan kawasan tebingan sungai.

Bangunan ini berdiri megah berhampiran dua lagi mercu tanda menarik — Astana yang begitu bersejarah dan Fort Margherita.

Projek ini dilaksanakan secara usaha sama antara syarikat pembinaan\ terkemuka Sarawak – PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd dan Naim Cendera Sdn Bhd – setelah diberi kontrak oleh kerajaan negeri pada 28 Jun 2005.

Mengikut jadual asal, ia sepatutnya siap September lepas.

(Taken from Borneo Post)